Bagaimana ia bermula
Nama manusia tidak asing lagi dengan sifat penerokaannya. Sudah menjadi sifat dalaman manusia secara kolektif untuk tidak statik di sesuatu tempat. Entah sejak dari bila, tidak dapat kita ketahui dengan persis, manusia telah lama memulakan penjelajahannya ke serata dunia.
Seperti sifat biologi benda hidup yang lain, kehendak survival dalam spesiesnya perlu dituntuti. Pertumbuhan, pembiakan, proses metabolisme, tindakbalas terhadap alam sekitar dan evolusi merupakan ciri-ciri benda hidup untuk mengekalkan kewujudan mereka di dunia ini. Oleh itu, sifat penjelajahan boleh dikatakan ada dalam diri manusia sebagai salah satu cara untuk pengekalan survival spesiesnya. Makin tersebar manusia di serata dunia, makin tinggi kadar survival spesiesnya.
Selain kehendak biologi, umat manusia telah dianugerahkan satu ciri yang paling bernilai iaitu kecerdasan minda. Ternyata, masih tiada lagi spesies lain yang telah dijumpai untuk memiliki minda setaraf manusia. Kewujudan minda sebenarnya masih lagi menjadi misteri. Sudah sekian lama manusia berdebat tentang minda malah telah pun berfalsafah, beragama dan juga bersaintifik tentangnya.
Namun begitu tiada lagi bukti nyata dapat dijelaskan tentang kewujudan minda kita. Walau bagaimanapun saintis pasti minda sememangnya berkait rapat dengan sifat biologi manusia seperti otak manakalah ahli falsafah pula meletakkan minda sebagai salah satu teras kemanusian. Tidak kira bagaimanapun, minda manusia tetap memainkan peranan penting dalam membantu penjelajahan manusia kerana kecerdasan ternyata membantu manusia bergerak lebih jauh daripada spesies-spesies lain melalui apa yang dikatakan sebagai pembinaan tamadun.
Daripada dua kehendak ini, iaitu biologi dan minda, telah membawa manusia dalam penjelajahannya menyebar spesies bersama kemanusiannya. Walaupun sebahagian peristiwa berlaku akibat penjelajahan ini tidak indah, malah lebih hodoh dan tidak mencerminkan kemanusiaan, namun inilah tanda manusia hanyalah makhluk, dan makhluk sudah tentu tidak sempurna.
Apabila tamadun manusia semakin maju, mereka mula merekod segala penjelajahan mereka. Pada masa itu mereka baru saja mula memahami konsep sejarah. Melalui tokoh-tokoh seperti Herodotus, Marco Polo, dan Ibnu Battuta, rekod dan kajian sejarah dihasilkan dan dipelihara sebagai sumber penting tamadun umat manusia.
Orang belayar ke timur, dia ke barat

Walaupun lelaki dari Republik Genoa di Itali ini bukan terpelajar, dia rajin membaca kitab-kitab agama dan ilmiah. Sifat ini apabila digabungkan dengan optimisnya telah berjaya menghasilkan teorinya bahawa di sebalik lautan wangsa ini adalah terletaknya India Timur, balik ke benua Asia kembali.
Yakin dengan teorinya, lelaki ini mula melobi ideanya kepada kaum-kaum kerabat di Eropah yang pada masa itu mahukan laluan mudah ke India. Eropah pada waktu itu obses dengan laluan ke India kerana kaya dengan sumber rempah ratus, sutera dan paling penting iaitu candunya. Sebelum ini, laluan ke India melalui semenanjung iaitu ‘Laluan Sutera’ bukan lagi laluan mudah untuk mereka selepas pendudukan Istanbul oleh kerajaan Turki Uthmaniyah.
Portugal kemudian berjaya menemui laluan dengan mengelilingi benua Afrika melalui penemuan Tanjung Harapan (Afrika Selatan pada masa kini). Hasil penemuan ini menyebabkan Portugal menolak cadangan lelaki Itali itu yang telah lama melobi kerabat diraja Portugal. Dia kemudiannya mengalihkan sasarannya kepada Raja Ferdinand dan Ratu Isabella dari Sepanyol.
Cadangan lelaki ini sukar untuk diterima kerana arah India dari Eropah adalah timur apabila laluan disarankan lelaki ini adalah menuju ke barat. Sudah tentu untuk mencari laluan ke India, arah timur adalah arah yang paling rasional perlu dituju. Sedang semua mencari laluan ke timur, lelaki ini pula cadang beralih ke arah barat. Lebih-lebih lagi apabila ke arah lautan misteri yang sememangnya tidak digemari ramai.
Walaupun idea Bumi ini bulat telah lama dibuktikan, sejak zaman Yunani lagi, namun masih ramai terutamanya ahli-ahli agama yang percaya Bumi ini rata dan di sebalik lautan Atlantik ini adalah penghujung dunia di mana mereka boleh jatuh ke jurang maut. Sudah pasti mereka menganggap idea lelaki ini terlalu radikal dan melanggar prinsip agama mereka dan mencuba sedaya upaya untuk menghalang ideanya daripada diterima kerabat Sepanyol.
Meskipun begitu, Sepanyol sedang bersaing dengan negara lain dalam mencari laluan ke India dan mereka tidak mahu menolak segala pilihan atau kemungkinan yang ada, walau mengarut mana sekalipun. Oleh itu, mereka sanggup membiayai perbelanjaan tahunannya dengan syarat lelaki tersebut tidak pergi membentangkan ideanya ke tempat lain.
Selepas dua tahun gagal dalam cubaannya untuk mendapat persetujuan monarki Sepanyol, satu hari entah bagaimana monarki itu bersetuju untuk menampung pelayarannya. Diceritakan pada waktu itu lelaki ini sedang pulang dengan kecewa seperti biasa selepas cadangannya ditolak Ratu Isabella melalui hasil perbincangannya dengan para penasihat. Tetapi tidak lama kemudian dia dipanggil semula apabila Raja Ferdinand mula masuk campur dalam perbincangan tersebut.
Dalam perjanjiannya dengan Sepanyol, dia akan dilantik sebagai Gabenor, pangkat ‘Laksamana Laut’ dan akan diberikan tanah. Perjanjian ini tampak mewah dan melebih-lebih menyebelahi lelaki tersebut kerana monarki Sepanyol sendiri memang langsung tidak jangka akan kepulangannya kembali. Mungkin ini salah satu sebab Raja Ferdinand berjaya memujuk Ratu Isabella untuk menyokong penjelajahannya ke barat seolah-olah mereka mahu menyingkir lelaki tersebut daripada Eropah.
Lelaki ini langsung tidak mengambil peduli tentang hal-ehwal politik istana, bahkan dia sememangnya hanya menumpukan kerja persiapannya untuk berlayar jauh. Melalui pelaburan daripada peniaga-peniaga dari Itali, lelaki ini dapat memulakan pelayarannya ke barat yang kemudiannya menjadi titik penting dalam sejarah Barat.
Sudah tentu dia berasa gembira apabila melihat bayangan benua dihadapan kapalnya, puas hati kerana teorinya tepat dan telah menemui laluan baru ke India. Bersama-sama krewnya, dia cuba membuka penempatan disitu dan cuba berinteraksi dengan orang asli ‘India’. Beberapa tahun kemudian, lelaki ini membawa orang dari Eropah untuk membuka koloni-koloni di ‘India Timur’ itu.
Hingga saat kematiannya, dia percaya bahawa dirinya telah mencapai impiannya, iaitu sebagai peneroka yang menemui laluan ke India Timur. Dia merasakan yang namanya pasti akan tercatat dalam kitab-kitab sejarah. Memandang dirinya masa depan, pasti namanya akan tercatat: Christopher Columbus, peneroka pertama ke India Timur.
Kini kita tahu, namanya memang tercatat tetapi sumbangannya bukanlah ke India Timur tapi ke benua baru iaitu Amerika, nama yang kini tidak asing lagi dengan kemodenan dan kemajuan tamadunnya. Tiada siapa yang sangka tentang penemuan benua baru itu, bahkan peneroka Amerika itu sendiri percaya dengan teguh yang benua itu adalah benua Asia. Mungkin ini dapat diperjelaskan bahawa benua Amerika telah dinamakan sempena nama pelabur Italinya, Amerigo Vespucci dan bukan namanya.
Pelayaran Columbus dianggap penting kerana ia boleh dikatakan menjadi penutup kepada pengembaraan manusia dalam penerokaannya di permukaan Bumi. Tamatnya penjelajahan mendatar manusia. Sebelum Columbus, orangnya belayar ke timur, utara dan selatan tetapi tidak ke barat. Columbus telah membawa manusia satu jejak penutup dengan pelayarannya ke barat.
Walaupun dikritik bahawa apa yang dilakukannya bukanlah suatu pencapaian agung, dirinya membalas, “memang anda semua mampu lakukan perkara yang sama, tapi sayalah orang pertama yang berjaya melakukannya.”

Tiba masa giliran pelayaran ke atas
[dropcap]D[/dropcap]engan itu, manusia telah berjaya menghubungkan jaringan tamadun spesies-spesiesnya di serata dunia. Perhubungan tamadun ini penting dalam survival manusia kerana kelompok-kelompok manusia umpama kelompok-kelompok sel yang berhubung menjadi tisu kepada organ dan akhirnya kepada sistem. Sama jugalah dengan sistem tamadun manusia.Selesainya tugas manusia di permukaan Bumi belum bermakna manusia sudah berjaya berada di atas puncak dunia. Ternyata manusia masih jauh lagi ke puncak. Walaupun perlahan, tapi umat manusia telah belayar jauh menerusi lautan-lautan untuk melihat dunia. Kini, sudah tiba masanya untuk beralih pandangan mendatar mereka kepada pandangan menegak. Cukuplah dengan samudera lautan, sebaliknya sasarkan pula kemanusiaan ke atas samudera angkasa.
Di sana terdapat lebih banyak misteri yang mengatasi imaginasi manusia. Jumlah bintang dalam alam semesta sendiri jauh lebih banyak daripada jumlah setiap butiran pasir di seluruh muka Bumi ini. Ternyata jika alam semesta ini hanya sebesar Bumi, manusia adalah jauh lebih kerdil daripada sezarah pasir dimata dunia. Namun begitu, jika ianya telah dicipta, siapa yang perlu meneroka kalau bukan manusia yang telah dianugerahi sifat penjelajahan yang dipandu oleh kedua-dua sifat biologi dan minda mereka.

ramai negara sibuk nak meneroka angkasa.. entah apa la sebab nyer…
Negara berlumba-lumba ke angkasa biasanya tujuannya adalah sebab politik. Sebagai simbol kemajuan negara.
[...] dari Bibit Penerokaan Peradaban Manusia Yuri Gagarin, angkasawan pertama ke angkasa lepas Krisis-krisis politik dunia ini umpama titik [...]