fundamental & progresif

Sejarah Yuri Gagarin, angkasawan pertama ke angkasa lepas

Diterbitkan pada 29 April 2012 | oleh Faizin

1

Godaan Alam Semesta

Kematangan dalam kemanusiaan

Seolah-olah masih tidak berpuas hati dengan pencapaian mereka menerokai pelusuk Bumi, umat manusia berpaling pula ke arah angkasa. Secara jujurnya, tindakan penerokaan ini berlaku tanpa disedari secara langsung oleh manusia sendiri.

Mereka tidak sedar yang mereka telah tersebar di serata dunia dan telah mengukuhkan spesies mereka melalui perhubungan antara umat manusia di permukaan Bumi dengan apa yang digelar mereka sebagai proses globalisasi. Ada kalangan mereka mengeluarkan rasa resahnya terhadap proses globalisasi yang berlaku dengan pantas, namun kerisauan ini adalah sia-sia kerana sudah menjadi sifat manusia untuk berhubung.

Sebagaimana proses hierarki berlaku daripada sistem keluarga kepada komuniti kecil dan kemudiannya kepada wilayah dan negeri dan seterusnya negara merupakan sifat semulajadi manusia sebagai makhluk yang dikurniakan kecerdikan. Sekali lagi, sifat ini sudah tentu dipandu oleh kedua-dua sifat biologi dan minda mereka.

Walau bagaimanapun, manusia sememangnya terkenal dengan sifat ketidaksempurnaan. Ini disebabkan dalam setiap pencapaian agung mereka, pastinya akan terkandung peristiwa-peristiwa hodoh yang telah melanggar lagi merobohkan prinsip kemanusiaan. Dalam peristiwa Columbus menemui benua Amerika, ia merupakan salah satu bibit-bibit kepada pengkolonian atau penjajahan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa besar terhadap kerajaan yang lebih lemah.

Pembulian yang dilakukan mereka termasuklah pengeksploitasi sumber-sumber hak milik masyarakat pribumi. Kerajaan-kerajaan kecil ini hanyalah buah catur digunakan mereka dalam persaingan mereka dengan pembuli-pembuli besar yang lain. Alam melayu juga tidak terlepas dengan pembulian ini apabila Portugal menjatuhkan kerajaan Melaka pada tahun 1511 yang membawa kepada kemarau penjajahan selama 446 tahun.

Setelah sekian lama, barulah mereka mula sedar akan kesalahan mereka. Generasi-generasi mereka kemudian berasa malu dengan tindakan nenek moyang mereka. Penyalahgunaan kuasa ini merupakan tanda bahawa minda manusia masih mentah dan belum matang kerana mereka cepat kecundang dengan kuasa. Sifat mereka ibarat kanak-kanak pembuli yang membuli rakan mereka yang lebih kecil.

Walau apapun, manusia tidak seharusnya menyimpan rasa dendam terhadap perkara yang lepas. Dendam kesumat bukanlah sifat kemanusiaan. Umat manusia secara keseluruhannya perlu meningkatkan pemikiran mereka dan membentuk persefahaman untuk sama-sama memelihara kemanusiaan masing-masing.

Perkembangan kajian sains

Dalam tempoh beberapa puluh dekad selepas penemuan benua Amerika, perkembangan ilmu pengetahuan terutamanya dari sudut sains turut bercambah bersama-sama dengan proses kolonisasi. Penjajahan dilakukan ini telah banyak memberikan sumber kemewahan kepada kerajaan penjajah.

Kemewahan ini menjadi faktor utama kemajuan sains yang berlaku dalam negara mereka. Secara tidak langsung, kemajuan ilmu dalam umat manusia bukanlah hasil kerja saintis penjajah berseorangan, tetapi juga hasil dari sumber dan penat lelah rakyat-rakyat negara jajahan,  termasuklah Alam Melayu.

Pada hujung abad ke 19, bidang fizik telah berkembang dengan pesat sehinggakan ada yang menganggap fizik sudah sampai ke penghujungnya, sebelum kemudian berlakunya penemuan teori kerelatifan dan mekanik kuantum pada awal abad ke 20. Melalui perkembangan fizik, cabang-cabang ilmu lain turut berkembang.

Astronomi berkembang melalui mekanik klasik dan optik manakalah kimia dapat kembali ke landasan betulnya melalui penemuan kuantum fizik. Waktu ini landasan asasi fizik dan kimia dapat digabungkan dan ini adalah mustahak dalam ilmu sains kerana setiap cabang sains berpunca daripada satu landasan yang sama. Biologi masih jauh dari perhubungan landasannya dengan fizik kerana sistem dalam biologi masih rumit untuk dijelaskan dalam bahasa matematik.

Matematik pula menjadi bahasa alam kepada manusia. Ilmu sains pasti memerlukan bahasa ini untuk memahami alam semesta secara fundamental. Fizik dikatakan paling banyak menggunakan matematik kerana bidang fizik sudah kembali kepada fundamental. Manakala kimia, berbanding biologi, lebih banyak menggunakan matematik kerana perkembangan kimia juga hampir kepada asasinya seperti fizik.

Pada masa yang sama ilmu matematik perlu dikembangkan kerana hanya melalui perkembangan matematik sebagai bahasa, barulah mudah untuk kita memahami alam semesta. Bahasa alam untuk biologi dan kimia ternyata lebih kompleks berbanding fizik kerana kedua-duanya menguruskan sistem pada tahap lebih teliti sementara fizik hanya berurusan dengan fundamental alam, seperti partikel dan daya asas.

Kemudian persoalan lain timbul: jika fizik berurusan dengan asas alam, bagaimana ia dapat menjelaskan alam semesta yang jauh lebih luas dan misteri? Sebenarnya, fizik hanya dapat menjelaskan alam semesta dari pandangan fundamental. Dalam alam semesta, terdapat sistem yang lebih kompleks seperti komposisi kimia dan juga benda hidup dalam galaksi atau planet lain yang sukar dijelaskan hanya dengan fizik sendirian.

Manusia kerdil dalam godaan alam semesta

Melalui persoalan-persoalan tadi, seterusnya timbullah minat manusia untuk merentasi angkasa lepas. Bidang astronomi yang pada asalnya digunakan untuk melihat bintang sebagai navigasi pelayaran di laut, kini beralih arah kepada kajian penciptaan alam semesta. Melalui penemuan ahli astronomi Edwin Hubble, saintis telah mengetahui sifat galaksi yang bergerak semakin berjauhan antara satu sama lain dan kemudian membawa kepada penemuan teori Ledakan Agung yang dikembangkan oleh George Gamow.

Pada asalnya, manusia hanya mahu mengintai bintang-bintang. Awalnya, ramai menganggap perbuatan mengkaji bintang selain tujuan navigasi adalah suatu perkara yang sia-sia. Namun, pengintaian ini telah menggoda manusia untuk memahami bintang-bintang dalam alam ini.

Ternyata kini mereka tahu bahawa Bumi, planet kecil yang kita diami merupakan planet ketiga dalam lapan planet dalam sistem suria kita. Dan matahari, pusat sistem suria kita, merupakan satu bintang daripada 400 billion bintang lain dalam galaksi yang dipanggil Bima Sakti. Tidak cukup dengan kekerdilan kita, galaksi Bima Sakti ini pula hanyalah satu daripada lebih dari 170 billion galaksi dalam alam semesta yang mampu diamati atau dicerap.

Walaupun kemajuan sains sebagai ilmu dapat berkembang dengan pesat, pembikinan teknologi sejajar dengan kemajuan tersebut tentunya dipengaruhi dengan keadaan politik semasa. Seperti era Columbus, kerajaan-kerajaan Eropah bersaing mahukan keuntungan melalui laluan ke India yang kemudiannya telah dapat merealisasikan penerokaan benua baru Amerika.

Untuk era penerokaan angkasa pula, ianya diterajui dengan persaingan antara Soviet Rusia dengan Amerika Syarikat dalam Perang Dingin pada pertengahan abad ke 20.  Disebabkan persaingan ini, dana-dana telah banyak dibelanjakan kepada kajian sains tulen oleh dua blok ini bagi memicu penciptaan teknologi-teknologi penerokaan angkasa.

Dimulakan dengan kejayaan Soviet melancarkan satelit pertama Sputnik 1 ke angkasa pada 4 Oktober 1957 diikuti pada tahun 1961 dengan penghantaran manusia pertama ke angkasa, Yuri Gagarin telah memberi tamparan yang hebat kepada Amerika Syarikat yang mewakili blok kapitalis itu. AS membalas tamparan dengan melancarkan misi terkenalnya iaitu penghantaran manusia ke bulan, Neil Armstrong dan Edwin Aldrin, Jr. yang kemudiannya telah disensasikan pada khalayak dunia.

Pelumbaan angkasa ini tamat pada Julai 1975 dengan kerjasama Projek Ujian Soyuz-Apollo bagi tanda melegakan tekanan politik antara kedua-dua negara. Sesungguhnya, setiap penerokaan pastinya dipengaruhi dengan klimat politik. Jika tidak adanya krisis antara blok komunis dengan kapitalis, pastinya lebih lambat perkembangan penerokaan angkasa kita.

Seperti 600 tahun dahulu, jika tiadanya kejatuhan Istanbul kepada Turki Uthmaniyah, pastinya tidak ada sebab Raja Ferdinand dan Ratu Isabella ingin menyokong pelayaran Columbus. Satu hari nanti, pastinya berlaku satu lagi krisis yang akan menolak manusia untuk belayar lebih jauh daripada bulan.

Krisis-krisis politik dunia ini umpama titik persimpangan penting dalam peradaban manusia terutamanya dari segi kajian saintifik. Jika difikirkan semula, krisis ini merupakan godaan alam semesta kepada manusia. Ia adalah godaan yang sama dilakukan kepada kerajaan Eropah dan seterusnya kepada Amerika Syarikat dan Soviet Rusia.

Kini, umat manusia sedang bekerja dalam persediaan mereka untuk meneroka angkasa. Setiap tahun, mereka akan menghantar mesin-mesin ke angkasa sebagai pemerhati mereka. Sebelum meneroka, mereka ingin mengenali terlebih dahulu tentang alam di sebalik dunia yang mereka tinggal. Seperti Columbus merenung jauh ke samudera Lautan Atlantik, kini manusia merenung samudera angkasa lepas untuk mengenali apa yang ada di sebalik angkasa raya.

Awan: , , , , , , , , , , , ,


Penulis

merupakan editor Cloudfable.



Satu Komen kepada Godaan Alam Semesta

  1. Pingback: Bibit Penerokaan Peradaban Manusia | Cloudfable

Komen

Emel anda tidak akan dipaparkan. Maklumat yang diperlukan ditanda *

*

Anda boleh gunakan kod HTML: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Kembali ke Atas ↑