Orang kata jodoh di tangan Tuhan. Seringkali dirangkaikan pula dengan kata-kata, hidup mati, jodoh pertemuan dan rezeki di tangan Tuhan. Tetapi mengapa jodoh, kematian dan rezeki saja di tangan Tuhan? Tidakkah semua perkara yang berlaku adalah ketentuan dari Tuhan?

Takdir mencakupi segalanya. Tidak ada yang terlepas daripada ketentuan takdir. Termasuklah jodoh. Tetapi bukan hanya jodoh. Maknanya jodoh bukanlah sesuatu yang istimewa dalam hidup. Begitu juga dengan kematian dan rezeki. Jodoh, kematian dan rezeki adalah sebahagian daripada proses kewujudan manusia. Istimewanya adalah setara dengan lain-lain pengalaman manusia.

Maka selain daripada jodoh, kematian dan rezeki, pengalaman manusia yang lain juga adalah istimewa, seperti menuntut ilmu, kesedaran beragama ataupun pengalaman-pengalaman manusia penting yang lain seperti taubat. Justeru,apabila dibanding-bandingkan, jodoh hanyalah salah satu daripada peristiwa penting dalam hidup manusia. Bukannya perkara paling penting.

Namun begitu jodoh pertemuan berkait juga dengan hidup mati dan rezeki. Kalau seseorang tidak hidup, maka bagaimanakah mereka mahu menemui jodoh? Hidup bukan sekadar bernyawa. Tetapi juga perlu berfungsi. Daripada tubuh yang sihat, waras akal hingga mampu belajar dan berfikir. Daripadanya datanglah rezeki. Dengan rezeki, muncul pula jodoh, sama pertemuan berlaku di tempat belajar, tempat bekerja atau diatur oleh keluarga. Kesemuanya di tangan Tuhan.

Tetapi Allah s.w.t. sudah menetapkan hukum alam, akal fikiran dan usaha ikhtiar dalam membentuk sesuatu peristiwa. Dari segi alamnya, kesemua benda hidup, tumbuhan dan haiwan dibekalkan dengan kemampuan untuk bertemu jodoh.

Lihatlah kesemua tumbuhan dan haiwan diolah oleh Allah s.w.t. untuk mengarah haluan hidupnya bagi mempertemu jodoh kemudian memperpanjangkan zuriat. Itulah ciri-ciri benda hidup. Cari tenaga, hidup, bertemu jodoh dan membiak. Maka tidak hairanlah kebanyakan benda hidup, termasuk manusia mudah mendapat jodoh dan membiak hinggalah bumi ini diliputi dengan pelbagai dan beragam spesies.

Kalau dilihat dari sudut yang istimewa, dapat dirasakan keseluruhan bumi ini direkabentuk oleh Allah s.w.t. untuk menggalakkan kehidupan dan pembiakan secara berpanjangan turun-temurun. Pastinya pertemuan jodoh merupakan agenda utama dalam kewujudan benda-benda hidup ini.

Tetapi dalam keadaan di mana kewujudan ini mendorong kepada jodoh pertemuan, mengapakah ada juga orang, baik lelaki mahupun perempuan yang tidak bertemu pasangan?

Takdir menentukan sedemikian. Seperti mana dalam banyak-banyak manusia yang dikandung ibunya, tidak semua yang dapat melihat dunia. Ada yang gugur dalam kandungan. Sementara yang dapat hidup, tidak semua yang mencapai umur ke tahap wajar mencari jodoh. Nasib semua benda hidup adalah sedemikian. Baik haiwan mahupun manusia.

Begitu juga dengan rezeki. Ada yang memperoleh rezeki lebih baik. Tidak kurang pula yang susah dan sukar. Di kalangan haiwan seperti itu juga. Ada yang kais pagi makan pagi. Tidak kurang pula ada yang mendapat makanan dengan mudah seperti binatang-binatang peliharaan yang disayangi tuan mereka.

Dalam menghadapi takdir yang sebegini rupa, apakah yang wajar dilakukan? Umpamanya jika seseorang menghadapi kesempitan rezeki, apakah yang perlu dilakukan? Tentunya usaha dan berfikir secara mendalam bagi mendapatkan rezeki lebih baik. Tetapi setelah dilakukan secara bersungguh-sungguh, tetapi terus tidak dapat berjaya, patutkah seseorang itu bersusah hati dan berputus harap?

Keadaan yang sama juga dalam menghadapi kesakitan dan kematian. Ketika menghadapi penyakit, seseorang akan berikhtiar mencari ubat dan penawar. Tetapi jika terus-menerus sakit, hingga ke ambang kematian, wajarkah seseorang itu terus bersedih dan menghabiskan sisa-sisa kehidupan dengan susah hati? Atau mencari jalan untuk berasa berbahagia walaupun dalam keadaan yang menyedihkan?

Begitu juga dengan soal jodoh. Ketika menghadapi perpisahan perceraian, adakah seseorang terus menerus bersusah hati sedangkan hidup boleh dijalani dengan kegembiraan tanpa pasangan? Agama memberi penawar besar bagi menghadapi penderitaan manusia. Baik dalam soal kesakitan, kematian, kesempitan rezeki mahupun masalah jodoh.

Doa akan melembutkan hati manusia dan memberi kebahagiaan dalam apa jua keadaan. Tetapi di atas hal itu ialah sikap yang diajar oleh agama. Qanaah atau menerima ketentuan Ilahi serta redha dan ikhlas dalam hidup. Dalam hal ini, apa yang terkandung dalam ilmu tasawuf menjadi panduan.

Dalam alam kehidupan, tidak semua manusia menang kesemuanya. Kejayaan memperoleh rezeki, jodoh dan kesihatan ditentukan takdir yang tidak berupaya untuk diubah oleh kudrat manusia. Apa yang termampu oleh manusia, itulah yang diajarkan oleh ajaran agama iaitu kebahagiaan akhirat.