fundamental & progresif

Karya Potret Rosli Dhobi

Diterbitkan pada 22 April 2012 | oleh Faizin

0

‘Panggilan Mu yang Suchi’

Nama Rosli Dhobi boleh diutarakan bersama-sama dengan Datuk Maharajalela sebagai tokoh nasionalis yang telah membunuh wakil penjajah British. Beliau merupakan pejuang muda Sarawak yang telah dihukum bunuh hanya ketika berumur 18 tahun.

Hanya dengan umurnya yang singkat, Rosli Dhobi telah berjaya mencipta nama menerusi pergelutannya dalam perjuangan menuntut kebebasan sama ada dalam melaksanakan pembunuhan atau menghasilkan nukilannya dalam arena sastera.

Panggilan Mu Yang Suchi

Wahai Pemuda harapan bangsa,
Segeralah bangun membuat-kan jasa,
Kebangunan mu menyedar kan Melayu bangsa,
Ka-haluan kemajuan Aman Sentosa,
Wahai pemuda ber-chita suchi,
Kenal-kan Sarawak Negara kita yang Asli,
Meskipun bagai-mana anchaman akan terjadi,
Hendak lah sa-hidup sa-mati,
Mengibar-kan bendera menggambar kan hati,
Menunjok-kan rupa bangsa dan Negri,
Mengenal-kan hak di-tanahayer sendiri,
Wahai pemuda yang ber-semangat kan gelisah,
Insap-lah pada perjuangan bangsa,
Lambat bangat di-takdzir Allah,
Bangsa dan tanahayer tetap Merdeka.

- Lidros (Rosli Dhobi)
Diterbitkan dalam Utusan Sarawak pada 28 Februari 1949

Pada akhir tahun yang sama selepas puisi ‘Panggilan Mu yang Suchi’ diterbitkan dalam Utusan Sarawak, Rosli Dhobi bersama-sama ahli kumpulan Rukun 13 berkomplot dalam satu pembunuhan Gabenor kedua Sarawak yang baru tiba di Sibu.

Ternyata pembunuhan ini telah dirancang dengan teliti apabila salah seorang ahli kumpulan, Morshidi berpura-pura mahu mengambil gambar Gabenor tersebut melalui kamera rosaknya dan Rosli cepat-cepat mengambil peluang menikam Gabenor yang sedang berhenti untuk gambarnya diambil.

Selepas menikam Sir Duncan George Stewart, beliau telah ditahan di dalam penjara Kuching. Disana, beliau sempat menulis surat yang diberikan kepada warden yang dikenali sebagai Pak S:

Dengan secharek kertas ini dan se‑putung pensil untuk renungan sepanjang masa. Saya si‑penulis Rosli Dhobi dalam lindungan Permai. Saudara2 dan saudari2 sa‑perjuangan, saya ta’ lama lagi akan meninggalkan jejak tanah tumpah darakku yang ku chintai, dan utama sekali ayah bunda yang ku kasehi dan saudara2 semua, dengan nama Allah sifat pemurah dan pengampun saya menyusun 10 jari mohon ampun dan maaf atas kesalahan saya yang telah terjadi selama ini, saga sanggup berkorban nyawa untuk memperbaiki raayat yang telah di‑ budaki oleh penjajah, saya mengaku dan terima apa2 kesalahan di dunia ini saya ta’genter saya ta’takut mati, saya terima hukuman yang telah di jatohkan di‑mahkamah.Saya berdoa kepada Allah s. w. t. Saudara2 saudari2 di‑akhir kelak balek ke‑pengkuan Ibu‑pertiwi. Sungguh begitu saya sudah sanggup menghapuskan orang putih yang berasin dan datang‑nya tetapi saya sudah tidak ada di dunia ini nama saya tetap harum seluroh Dunia sa‑genap plusuk. Akhir kata, hey! Saudara2 Saudari2 sekalian berjuanglah jangan mundur majulah ka hadapan.Amin ya rabbul alamin berkat do a laillahaitlahi Munamada rasululah. Dan saya uchapkan jutaan terima kasih kepada saudara Pa. S. Allah sahajalah yang akan membalas budi jasa‑nya dengan penuh layanan, nasiha yang belom pernah di‑dengar oleh saya dari awal hingga akhir.Harapan ini surat jangan sekali di‑beri sesiapa pun. Simpan baik‑baik, barangkali di‑lain masa ada guna‑nya.Ditulis pada 1‑3‑1950
Saya yang akan meninggalkan endah ini,
R.D.

Surat ini telah menjadi panggilan terakhir daripada Rosli Dhobi kepada bangsanya. Mungkin inilah panggilan sucinya dalam menentang segala bentuk penindasan.

Awan: , , , , ,


Penulis

merupakan editor Cloudfable.



Komen

Emel anda tidak akan dipaparkan. Maklumat yang diperlukan ditanda *

*

Anda boleh gunakan kod HTML: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Kembali ke Atas ↑