Wujudkan Dunia Tanpa Kereta
Cuba kira berapa banyak seseorang berhabis untuk membeli dan memelihara kereta, termasuk dengan bayaran bunga kepada bank. Amat banyak lebih-lebih lagi apabila dikira semua rakyat Malaysia.
Itu belum lagi dikira pengorbanan rakyat Malaysia untuk membiayai projek kereta nasional, Proton dan Perodua. Belum lagi dikira bayaran yang naik kerana membiayai lessen import (AP), lebih-lebih lagi yang berbentuk penyelewengan dan Ali Baba. Belum lagi dikira bagaimana pengimport kereta membuat perisytiharan palsu kepada kastam supaya mereka boleh menjual dengan keuntungan lebih. Semuanya kos.
Malaysia telah banyak berbelanja untuk menghasilkan kereta nasionalnya. Semasa Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan hasratnya untuk membangunkan Proton, banyak pihak menentangnya kerana memikirkan beban kos yang ditanggung oleh negara dan rakyat. Antara yang menentangnya adalah pembangkang, seperti biasa.
Tetapi apabila Semangat 46 ditubuhkan dan menjadi pembangkang, mereka adalah antara penentang projek-projek mega. Lihatlah tulisan-tulisan ahli ekonomi Jomo K.S., penasihat kepada Semangat 46. Begitu juga dengan pendirian Shahrir Samad.
Maka tidak hairanlah Shahrir pernah menimbulkan tentang masalah Proton dan reaksi langsung daripada Dr Mahathir Mohamad yang seolah-olah merajuk dan mencadangkan supaya tutup saja Proton. Tetapi apabila ditimbulkan bahawa Proton patut ditutup maka tentu rakyat Malaysia tidak dapat menerimanya. Bukan saja sudah banyak berbelanja membangunkan Proton tetapi ia bukan sekadar bisnes, Proton sudah menjadi lambang nasional, wibawa nasional dan psiki nasional.
[quote float="left"]Budaya kereta sudah wujud dan ia bukan merupakan keperluan asasi. Ia menjadi keperluan kerana banyak pihak yang berkepentingan dapat manfaat daripadanya kerana budaya kereta sudah berjaya disemai. Sesungguhnya kereta adalah konspirasi kapitalis global.[/quote] Begitulah kewujudan kereta hari ini. Ia bukan saja menjadi alat pengangkutan. Ia berkait rapat dengan psikologi manusia. Ia melambangkan kedudukan dan personaliti manusia. Tanpa kereta, seseolah seseorang itu tidak lengkap sebagai manusia.
Hubungan Malaysia dengan kereta juga sedemikian. Kereta nasional khusunya Proton sudah berkait rapat dengan negara. Ia mesti dipertahankan walaupun memakan banyak berbelanja. Proton, seperti juga syarikat penerbangan Malaysia (MAS) menjadi sebahagian daripada jiwa nasional.
Tetapi sebenarnya Proton hanyalah kereta iaitu produk. Tidak semua negara mempunyai industri kereta. Tetapi mana-mana negara yang memiliki industri kereta dipandang tinggi.
Dalam sejarah manusia, alat pengangkutan sering berkembang jadi demikian. Umpamanya apabila kuda bukan saja menjadi alat pengangkutan tetapi berakhir sebagai suatu perlambangan yang menghubungi psikologi manusia.
Pada satu masa dulu kapal menjadi kebanggaan negara-negara. Sesiapa mempunyai kapal paling besar atau kuat, maka ia menjadi kebanggaan, dan malah muncul sebagai lambing nasional. Kini roket atau kapal angkasa menjadi lambing nasional. Sputnik dan Apollo pernah menjadi kebanggaan nasional masing-masing. Kini China berbangga dengan kapal angkasa mereka.
Tidak dapat bayangkanlah bagaimana bangganya Malaysia jika nmemiliki sebuah kapal angkasa pada masa akan datang kelak.
Tetapi kereta sebagai konsep tidaklah seindah yang sering dibayang. Iaitu kebebasan untuk bergerak ke mana saja. Pembangunan kereta melibatkan banyak perubahan kepada lanskap bumi dan kemanusiaan. Ia melibatkan minyak, pencemaran alam, pembinaan lebuh raya, perubahan kepada kedudukan tempat tinggal dan masalah kesesakan dan meletak kereta. Paling mengancam, kereta merupakan punca besar kemalangan maut.
Adakah kebebasan namanya jika seseorang itu tersangkut dalam kesesakan lalu lintas? Adakah kebebasan namanya jika perjalanan pulang ke kampong disaluti dengan kebimbangan akan kemalangan dan ancaman maut. Adakah kebebasan namanya jika perbelanjaan berkereta terlalu tinggi hingga menyukarkan hidup berkeluarga?
Adanya kereta mengubah kehidupan orang ramai. Mereka bersedia untuk tinggal lebih jauh daripada tempat kerja, umpamanya. Tetapi kos untuk ini amat tinggi dengan banyak masa dihabiskan di lebuh raya. Belum dikira stres dan kegagalan pertumbuhan tempatan kerana orang ramai bersedia untuk berjalan lebih jauh untuk membeli belah dan seumpamanya.
Buat masa ini dunia masih boleh menampung kehadiran kereta kerana majoriti penduduk masih belum memilikinya. Tetapi kalau itu berlaku cuba bayangkan kesan buruknya. Lebih raya bertambah dan bertambah sesak. Rebutan untuk mendapatkan minyak bertambah tinggi.
Bagaimanapun keadaan seumpama itu mungkin tidak tercapai kerana tidak semua manusia mempunyai kemampuan untuk memiliki kereta. Ini kerana kereta sebenarnya simbol penindasan orang kaya terhadap orang miskin. Ia merupakan manipulasi golongan pemodal yang membuat manipulasi untuk menguasai pasaran kereta. Lihatlah perbezaan antara Mercedes dan Kancil, ia merupakan symbol perbezaan kaya-miskin.
Tetapi apa yang lebih parah bagi sesebuah negara ialah apabila kerajaan sibuk menangani masalah berhubung dengan kereta hingga tidak mempunyai tumpuan untuk diberikan kepada pembangunan pengangkutan awam. Dana terpaksa dicurahkan kepada pembangunan kereta, lebuh raya dan soal minyak hingga perhatian kepada pengangkutan awam kurang diendahkan.
Setelah begitu lama mencapai kemerdekaan, dengan negara membangun lebih baik berbanding dengan negara-negara lain, tetapi sistem pengangkutan awam amat buruk. Kalau boleh dianggap pengangkutan awam paling baik pun ialah sistem pengangkutan udara. Itupun kerana ia memberi khidmat kepada golongan senang yang mempunyai pengaruh. Maka tidak hairanlah tumpuan diberikan kepada pembinaan lapangan terbang daripada stesyen bas.
Nasib baik ada syarikat penerbangan bajet yang memberikan tambang murah bagi membolehkan golongan rendah menggunakannya. Itupun mereka cuba dihalang dengan pelbagai cara oleh syarikat penerbangan nasional.
Sememangnya pengangkutan awam transit laju ringan (LRT) seperti Putra, Star, Monorel dan Komuter memberikan kemajuan kepada pengangkutan awam negara tetapi ia masih jauh daripada memadai.
Sistem LRT yang dibangunkan di negara ini jauh daripada memuaskan. Pertamanya, harga tambang adalah tinggi dan lebih cenderong untuk memberi khidmat golongan sederhana dan bukannya rendah. Golongan rendah masih bergantung kepada bas. Akibat hendak melayani karenah kontraktor, maka sepatutnya sistem LRT ini berpadu tidak dilakukan maka lahirlah empat sistem yang tidak diintegrasikan. Di Singapura, tambang MRT nya lebih murah kerana tujuannya adalah untuk memberi khidmat pada orang ramai, iaitu memandangkan orang ramai tidak mampu memiliki kereta.
Pengangkutan awam tidak mendatangkan untung. Ia merupakan satu hakikat dan kerajaan tidak boleh menjadikannya sebagai alasan untuk tidak memberikannya perhatian. Pengangkutan awam wajar dimilik oleh kerajaan atau majlis tempatan yang menanggungnya dengan menggunakan cukai orang ramai. Untuk menunggu hingga syatrikat pengangkutan boleh mendatangkan untung memang selamanya golongan rendah akan berasa kesusahan untuk bergerak.
Sememangnya syarikat Rapid KL baru diperkenalkan dan diharapkan dapat menyelesaikan masalah pengangkutan awam ibu negara. Tetapi tindakan yang walaupun dialu-alukan itu terlambat.
Mentaliti kerajaan terhadap pengangkutan awam tidak bersifat pro-golongan rendah. Hanya ada satu masa kerajaan bersifat demikian iaitu apabila Ghafar Baba selaku Menteri Pembangunan Luar Bandar memperkenalkan bas Rida, atau Mara kepada kampung-kampung bagi membolehkan orang di pedalaman mempunyai sistem pengangkutan awam. Rangkaian pengangkutan awam bas desa ini pastinya tidak mendatangkan keuntungan tetapi ia penting untuk golongan desa.
Sememangnya untuk memiliki pengangkutan awam yang benar-benar pro-rakyat dan bersifat menyeluruh memerlukan dana besar. Pertamanya, mesti ada mentaliti pro-pengangkutan awam, barulah sesuatu dasar terhadapnya dapat digubal.
Bayangkan dana bagi membangunkan kereta nasional dan lebuh raya jika diteruskan untuk wujudkan sistem pengangkutan awam, maka sekarang sudah ada kemudahan itu dan ia tidak mendesak orang ramai untuk menggunakan dan memiliki kereta.
Sedangkan pada masa akan datang pengangkutan efisien bagi manusia, seperti yang diramalkan oleh ahli-ahli perancang bandar ialah LRT. Apabila manusia sudah begitu ramai dan cara terbaik menggerakkan manusia ialah LRT. Ia menggunakan elektrik, tidak mencemarkan udara dan tidak perlu menggunakan minyak. Sudah tentu untuk mengubah kebiasaan manusia daripada kereta kepada LRT memerlukan anjakan tingkah laku yang besar. Tetapi jika terpaksa, maka perkara itu akan dilaksanakan juga.
Tetapi kalau pemimpin sudah minat kereta dan melihatnya sebagai sumber ekonomi, maka sudah tentu dasar negara akan cenderong bagi penggalakan penggunaan dan pemilikan kereta.
Orang golongan berpendapatan sederhana dan rendah menggunakan kereta kerana terpaksa. Dengan mempunyai dasar pro-kereta serta menganggap sebagai teknologi dan ekonomi masa depan negara, maka minda kerajaan adalah ke arah penggunaan dan pemilikan kereta.
Justeru, orang ramai sudah tentu digalakkan membeli kereta. Kemudahan pinjaman diberikan. Lebuh raya dibina dengan rancaknya. Walaupun ia berlaku secara berasingan tetapi seolah-olah terdapat satu pakatan untuk orang ramai menggunakan kereta. Maka taman-taman perumahan dibina dengan jarak jauh. Malah Putrajaya juga dibina jauh daripada Bandar hingga menyusahkan golongan berpendapatan rendah. Maka tidak ada jalan lain daripada golongan berpendapatan rendah selain daripada untuk memiliki kereta.
Putrjaya, selaras dengan konsep Bandar masa depan dirancang untuk menjadi kota tanpa penggunaan kereta persendirian. Rancangannya ialah supaya terdapat perkhidmatan monorel yang efisen dan menyeluruh. Tetapi perkara penting tidak dibangun dan diutamakan. Akibatnya orang terpaksa menggunakan kereta untuk bergerak di sekitar Putrajaya. Maka akhirnya Putrajaya menghadapi krisis kurang tempat letak kereta. Infrastruktur dunia pertama dengan mentaliti dunia ketiga.
Budaya kereta sudah wujud dan ia bukan merupakan keperluan asasi. Ia menjadi keperluan kerana banyak pihak yang berkepentingan dapat manfaat daripadanya kerana budaya kereta sudah berjaya disemai. Sesungguhnya kereta adalah konspirasi kapitalis global.
Dapat bayangkan andaikata kereta tidak menjadi budaya, maka pengangkutan awam, akan berjaya ditingkatkan mutunya. Orang akan cenderong untuk berurusan hampir dengan tempat kediaman dan pekerjaan masing-masing. Rumah-rumah akan dibina berhampiran dengan kemudahan seperti pejabat dan kedai supaya semua orang boleh berjalan kaki tanpa menggunakan kereta. Jalan-jalan besar tidak perlu dibina. Sebaliknya rel-rel keretapi dibangunkan dan menghubungi keseluruhan pelosok negara.
Orang masih perlu berbelanja tetapi wang tidaklah habis membawa ansuran kereta, insurans kereta dan penyelenggaraan kereta. Lebih penting lagi manusia tidak diancam maut jalan raya.
Suatu gerakan berbentuk badan bukan kerajaan (NGO) wajar ditubuhkan bagi memperjuangkan pengangkutan awam dan kepentingan golongan sederhana dan rendah. Kuasa berada dalam tangan golongan tinggi. Bukan mereka tidak berperasaan untuk membela rakyat tetapi kedudukan mereka di atas menjadikan mereka lupa betapa sukarnya orang ramai berasak-asak menunggu bas yang menyakitkan hati.
