Tentang Tribefable.com
Pengenalan
Tribefable.com merupakan laman sosial yang menekankan perkongsian dan perbincangan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat kepada penggunanya. Dasarnya, Tribefable mahu menjadi medium komunikasi dan sosial yang meliputi pelbagai cabang maklumat dan ilmu pengetahuan kepada seluruh umat manusia. Berbeza dengan kebanyakan laman sosial popular, Tribefable tidak akan membiarkan hal ehwal peribadi menimbunkan maklumat yang bermanfaat bahkan Tribefable akan menjulang aktiviti perkongsian dan perbincangan yang mendatangkan kebaikan. Kesungguhan Tribefable dalam menjadi pusat laman sosial yang bermanfaat kepada penggunanya terpamer pada cogan katanya iaitu ‘untuk manusia yang sentiasa berjuang kepada pembangunan masyarakat menerusi perkongsian dan perbincangan yang mencetus revolusi pemikiran’. Revolusi pemikiran ini membawa maksud perubahan dalam mentaliti kita untuk jadi lebih peka dan aktif terhadap perkembangan masyarakat dari semua segi. Jadi, Tribefable mahu menjadi medium kepada pengguna untuk berkongsi dan berbincang sesama sendiri dalam bentuk perjuangan supaya dapat menghasilkan umat manusia yang memiliki kesedaran dan kebijaksanaan dalam memperbaiki kondisi masyarakat yang dihadapi sekarang sejajar dengan tagline ‘manusia yang berjuang’.
Tentang Perjuangan Umum
Erti kata perjuangan sebenarnya melingkupi maksud yang sangat meluas. Mustahil rasanya hendak diletakkan pada satu jawapan yang boleh dipersetujui semua orang. Kita hanya mampu meletakkan kata perjuangan dalam maksud secara umum kerana setiap individu mempunyai pemikiran dan kepercayaan hidup yang berbeza.
Jadi, secara umumnya, perjuangan itu sendiri bergantung kepada kepercayaan dalam sanubari diri masing-masing. Walaupun ianya membawa maksud yang berbeza mengikut kepercayaan sanubari kita, tetapi dalam tiap-tiap perjuangan terdapat juga persamaan yang meletakkan sesuatu perkara itu kepada perjuangan. Persamaan tersebut merupakan keinginan kita untuk mengubah sesuatu perkara kepada perkara lain dengan anggapan bahawa perkara tersebut dapat membawa kebaikan dan manfaat kepada diri dan dunia. Perlu diingatkan juga, secara universalnya bahawa sesebuah perjuangan hanya boleh dianggap sebagai perjuangan selagi ianya tidak melanggar hukum asas kemanusiaan serta tidak mempamerkan keburukan moral manusia seperti kezaliman, penindasan, dan penyeksaan. Saat kita telah melanggar hukum asas kemanusiaan, maka kita sudah pun menjadi anasir buruk yang harus dibanteras melalui bentuk perjuangan yang lain. Begitulah kitaran perjuangan dalam dunia ini.
Perjuangan yang dibincangkan tadi hanyalah terlitup dalam konsep secara umum. Apabila kita masukkan pemikiran unik yang lain, maka konsep perjuangan menjadi berbeza. Sebagai contoh, dalam agama tertentu ada yang membawa maksud perjuangan yang lain daripada agama yang lain atau setiap jenis sekolah pemikiran juga membawa konsep perjuangan yang berbeza. Tetapi konsep perjuangan mereka masih mematuhi konsep universal atau umum dan tidak melanggar hukum asas kemanusiaan dan moral manusiawi. Oleh itu, boleh dirumuskan bahawa perjuangan itu secara umum merupakan kehendak untuk merubah sesuatu kondisi masyarakat ke arah yang dipercayainya dapat membawa kebaikan kepada seluruh umat manusia. Hal-hal mengenai cara perjuangan mana yang benar pula bukanlah persoalan pada tulisan ini walaupun penulis sama sekali tidak menafikan kepentingannya dan secara peribadi penulis juga mempunyai pegangan dan cara hidup tertentu dalam konsep perjuangan.
Konsep Tribefable.com
Konsep perjuangan umum yang dibicara sebentar tadi merupakan teras Tribefable.com. Tribefable sebenarnya mahu memupuk sifat asas perjuangan dalam setiap manusia untuk berjuang kerana perjuangan merupakan penyelesaian kepada masalah-masalah asas manusiawi yang melanda seluruh umat manusia. Masalah asas manusiawi seperti kebuluran, kemiskinan, kejahilan, penindasan, genosid, jenayah, korupsi dan segala gejala sosial merupakan masalah yang wajib diperjuangkan oleh seluruh umat manusia tanpa mengira latar belakang. Bagaimanakah kita masih sanggup bertelagah sesama sendiri tentang cara perjuangan mana yang benar sedangkan masih ada masalah asas kemanusiaan yang terpampang nyata dalam persekitaran masyarakat kita? Tidakkah konsep asas perjuangan kita secara umumnya mahu menghapuskan masalah asas ini? Sudah tentu melalui tindakan kita tadi hanya mempamerkan kegagalan dalam konsep perjuangan yang kita bawakan.
Tujuan penubuhan Tribefable bukanlah ingin menunjukkan perjuangan mana yang benar dan salah tetapi hanya mahu membangkitkan dalam sanubari setiap manusia terhadap keperluan berjuang bersama-sama terhadap perkara-perkara asas melalui perkongsian dan perbincangan dalam isu-isu manusiawi asas. Isu kemanusiaan asas ini pula tidaklah hanya tertumpu pada fizikal dunia sahaja tetapi termasuk juga kerohanian dan minda masyarakat. Jadi, agama, budaya, seni, dan sains juga merupakan isu yang penting untuk dikongsi dan dibicara bagi melahirkan tamadun yang cemerlang. Melalui perkongsian dan perbicaraan dalam semua isu itulah merupakan cara perjuangan umum yang mampu disediakan oleh Tribefable dan pada masa yang sama Tribefable menghormati segala bentuk perjuangan yang dibawa oleh ahli-ahlinya kerana Tribefable mengenal erti perjuangan dalam maksud yang membawa pembangunan dalam masyarakat, bukan yang sebaliknya.
Tribefable mengharapkan kecemerlangan kepada manusia yang berjuang.
