Wawasan 2050
Jika Tun Dr Mahathir terkenal dengan idea luar biasanya iaitu Wawasan 2020 di mana ia menyasarkan Malaysia menjadi sebuah negara maju mengikut acuannya sendiri, maka tidak salah jika penulis mengambil gagasan idea itu tetapi menjadikan sasarannya lebih ke hadapan dan penulis namakan ia sebagai Wawasan 2050. Intipati dan huraiannya menyusul bersama rantaian coretan ringkas ini.
Ahli politikus di Malaysia kini menjadikan isu negara Islam dan Hudud sebagai perbincangan yang hangat. Masing-masing mahu dilihat sebagai ke hadapan di dalam membawakan isu ini agar kelihatan parti itu menjuarai isu-isu yang berkaitan dengan agama Islam di mata rakyat Malaysia. Malangnya, isu ini sudah terlebih dipolitikkan. Niat asal untuk memenuhi syariat agama telah menjadi barang dagangan politik. Untuk menyusun semula agenda asal iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang patuh syariah, kita harus menetapkan sasaran dan tanda aras bagaimana untuk mencapai sasaran itu. Negara patuh syariah ini (menurut pandangan penulis) merujuk kepada satu sistem pemerintahan dan kenegaraan yang menjadikan nilai-nilai Islami sebagai asas kepada pembentukkan dasar negara. Kebanyakkan kita sudah terbiasa mendengar istilah negara Islam, hatta Malaysia seringkali digelar sebagai negara Islam yang progresif dan maju oleh negara luar. Namun apakah istilah negara Islam itu hanya merujuk kepada jumlah majoriti penduduk? Atau istilah ini merujuk kepada sebahagian dasar-dasar pemerintahan yang mesra kepada agama Islam? Istilah ini telah mengundang banyak persoalan dan perdebatan kerana setiap huraian ulama’ ada banyak yang berbeda dan kadang kala mirip menjustifikasikan sesuatu amalan parti agar kelihatan selari dengan negara Islam menurut pandangan mereka.
Negara Patuh Syariah (NPS) seharusnya menekankan kepada prinsip keadilan sebagai keutamaan dan ‘workframe’ pemerintahan pula tidak semesti terikat dengan sistem lama tetapi perlu diselarikan dengan realiti politik hari ini. Secara mudahnya, kita harus bergerak dan beroperasi menggunakan sistem demokrasi yang sedia ada dengan memaksimumkan sebanyak mungkin ruang yang ada untuk menuju ke arah NPS tanpa mengenepikan prinsip dan nilai-nilai Islami. Prof Tariq Ramadan mengaitkan hal ini dengan istilah ‘Post- Islamism’ dan menjadikan negara Turki sebagai contoh. Hal yang sama sedang berlaku di negara pasca-revolusi Mesir dengan dikepalai oleh tokoh Ikhwanul Muslimin, Dr Mursi. Sebahagian gerakkan Islam ada yang secara mutlak telah mengharamkan demokrasi dan mahu memperjuangkan sistem khilafah (baca: kesatuan pemerintahan dunia Islam). Idea ini tidak salah, namun untuk berjuang mencapai sesuatu tetapi tidak berada dan tidak mahu untuk berada di dalam sistem adalah sesuatu yang sukar dan mustahil. Kita harus menjadi umat yang rasional dan realistik dalam hal ini. Prinsip keadilan adalah bersifat universal dan ia juga menjadi teras utama kepada NPS. Keadilan yang penulis maksudkan merangkumi banyak hal seperti perundangan, sosial, kebebasan bersuara dan ekonomi. Di Malaysia, perundangan kita mempunyai dua darjat nilaian dalam menghukum. Ada sesetengah golongan yang mendapat tempat dan undang-undang khas apabila terdapat kesalahan mereka yang memerlukan untuk dibicara. Ada juga kes-kes ajaib dimana hukuman untuk pencuri barang makanan kurang lebih duit poket dijatuhkan hukuman penjara yang lebih lama berbanding dengan pencuri amanah rakyat. Ini merupakan salah satu contoh ketidakadilan sistem perundangan di negara ini.
Keadilan sosial pula menekankan hak masyarakat untuk menikmati keadilan dalam bentuk yang universal tanpa mengambil kira soal bangsa, jantina dan agama. Misalannya, bantuan dan sokongan tidak perlu mengikut keutamaan soal bangsa, tetapi kelayakkannya ditentukan melalui indikasi-indikasi tertentu dan yang disepakati kemaslahatannya. Kebebasan bersuara merupakan salah satu elemen terpenting di dalam sistem demokrasi. Ini kerana demokrasi akan mati jika kebebasan ini dinafikan. Menurut penulis, kita berhadapan dengan dua situasi di mana hak kebebasan bersuara dinafikan dan ada pula kebebasan bersuara yang telah menghilangkan hak-hak yang lain. Umum sedia maklum tentang hak-hak bersuara yang telah dinafikan, tetapi kita memerlukan juga sikap yang adil dalam menikmati kebebasan bersuara setelah diberikan secara mutlak nanti. Dalam sesetengah keadaan, berlaku insiden ketidakadilan dalam menyuarakan pendapat kerana ia menyentuh keaiban manusia lain dan moral kepada masyarakat dan agama. Kebebasan mesti hadir dengan keadilan dan tanggungjawab supaya kita menikmatinya dengan penuh rasa harmoni. Perkara fundamental yang terpenting dalam dunia kapitalis dan telah membawa kepada banyak implikasi yang lain ialah keadilan dalam pengagihan kekayaan ekonomi. Banyak masalah sosial dan jenayah wujud akibat daripada pengagihan kekayaan ekonomi yang korup dan tidak berdaya saing. Ia juga menjadi tanda pengukur kepada kejayaan mana-mana dasar termasuklah juga NPS.
Mungkin ada yang bertanya, mengapa teras-teras yang dinukilkan oleh penulis kelihatan seperti tidak menampakkan ciri-ciri NPS menjelang 2050? Mengapa tidak kedengaran istilah-istilah yang berbunyi islami seperti penambahbaikan infrastruktur Islam (baca: pembinaan masjid-masjid baru, penambahan universiti-universiti bernama Islam, dan pembesaran pejabat pungutan zakat)? Saban tahun pengurusan agama di Malaysia terlalu memfokuskan terhadap pembangunan visual sahaja dan kadang kala teras-teras yang penulis nyatakan seperti ingin disekularkan dengan cuba memisahkannya dengan unsur agama. Kita tidak perlu meletakkan nama islamik dalam setiap usaha yang kita lakukan, tetapi penekanan terhadap ruh Islam itu penting agar keadilan menjadi teras dalam setiap usaha-usaha yang akan kita lakukan. Selain dari empat teras yang dinyatakan dalam coretan ringkas ini, terdapat banyak lagi teras yang perlu disenaraikan dan boleh dipanjang oleh banyak pemikir-pemikir Islam yang lain. Matlamat utama kita meletakkan teras-teras seperti ini agar ia menjadi indikasi dan tanda aras terhadap usaha-usaha yang akan dilakukan dalam mengejar Wawasan 2050 di mana Malaysia akan mencapai status Negara Patuh Syariah. Jika telah sampai pada tahun 2050 tetapi kita masih lagi gagal melaksanakan Wawasan 2050 secara sempurna, sekurang-kurangnya gerak kerja kita telah menjadi lebih tersusun dan matlamat menjadi lebih jelas. Tiada lagi istilah negara Islam menjadi barang mainan parti politik dan kita berharap agar NPS akan menjadi impian semua umat Islam di Malaysia.
Hudud? Maaf, ia hanya menjadi senarai terakhir penulis. Ini bukan bermaksud ia tidak penting, tetapi kita sering kali tersilap dalam meletakkan keutamaan dalam senarai yang penting itu. Islam adalah agama penyelesaian, bukan pula agama hukuman!

Hudud ialah pendidikan, bukan hukuman. Pendidikan ialah penyelesaian. Sangat lucu dan cetek jika penulis mentafsirkan hudud sebagai hukuman tatkala proses menjatuhkan hukuman hudud adalah terlalu sukar.
Saya kira apa yang penulis kritik tentang hudud pada akhir sekali adalah mengenai pemikiran umum masyarakat tentang hudud iaitu HUKUMAN hudud. Jika ianya dianggap sebagai pendidikan sudah tentu namanya dalam masyarakat jadi pendidikan hudud.
Sebab itu pada akhir sekali penulis menyentuh tentang agama penyelesaian bukan agama hukuman untuk menyindir masyarakat yang mentafsirkannya sebagai hukuman.
Betul, hudud adalah pendidikan. Mendidik pesalah dan masyarakat agar tidak membuat kesalahan tersebut pada masa akan datang. Hudud itu adalah sebahagian dalam Islam itu sendiri. Banyak lagi bidang yg perlu ditekankan, terutamanya bab tarbiyyah kepada masyarakat agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Bila kita mengambil Islam, kita mengambil sepenuhnya, bukan sikit-sikit.
Terima kasih di atas pendapat Sdr Hafizul & Faiz.
Penulis berpendapat, matlamat Hudud adalah untuk mendidik (baca: memberi kesedaran) masyarakat dan dalam masa yang sama kita harus memperakui tentang hakikat bahawa Hudud juga merupakan salah satu bentuk hukuman. Bukankah hukuman itu satu bentuk tindakan yang akhirnya akan memberikan pendidikan kepada insan-insan yang berfikir? Mana ada agama yang didakwa sempurna tetapi dalam masa yang sama tidak mempunyai sistem hukuman terhadap pesalah jenayah agama?
Apa yang penulis siniskan di dalam artikel ini adalah sikap kita yang terlalu membesarkan soal Hudud, Hudud, dan Hudud. Seolah-olah Hudud adalah segala-galanya dalam membentuk negara yang Allah cinta dan sayang. Ia adalah sebahagian, tetapi bukan segala-galanya. Seperti seorang wanita Muslim yang tidak bertudung, kita acapkali menjustifikasikan perihal wanita itu sehingga kadang kala seolah-olah tiada nilai baik di dalam dirinya. Isunya hanya kerana dia tidak bertudung. Walhal dalam agama ini ada banyak benda untuk perlu dinilai, bukan hanya kerana satu hal kita sudah berlagak menjadi Tuhan mahu menghukum syurga neraka.
Seperti yang saudara Hafizul nukilkan, untuk melaksanakan hudud (saudara juga menggunakan perkataan ‘hukuman Hudud’) bukan mudah. Terdapat banyak hal yang perlu dipersiapkan agar apabila Hudud itu dilaksanakan akan terserlah keindahan, keadilan dan betapa relevannya Hudud itu. Contohnya begini, adakah adil jika pesalah zina dijatuhkan hukuman tetapi dalam masa yang sama urusan perkahwinan begitu sukar dengan adat istiadat yang membebankan? Adilkah jika seorang ‘bakal’ janda muda yang berzina dijatuhkan hukuman kerana dia tidak dapat berkahwin lain dek kerana urusan cerai yang tertangguh bertahun lamanya di mahkamah Syariah hanya kerana alasan ‘suami’ yang tidak mahu menceraikannya atau tidak mahu hadir ke mahkamah? Mungkin si suami sedang sedap dengan isteri barunya tetapi dalam masa yang isteri lamanya menderita. Dia masih muda dan juga punyai nafsu. Inilah hal-hal yang kita perlu selesaikan dan tangani terlebih dahulu sebelum Hudud itu mampu dilaksanakan.
Hal yang sama penulis nukilkan seperti artikel di atas, sebelum Hudud dilaksanakan kita perlu menangani isu-isu keadilan dalam bidang sosial, ekonomi, perundangan dan lain-lain. Kita tidak mahu terperangkap dengan jenama negara Islam dengan menjadikan Hudud sebagai agenda utama, kita mahukan Negara Patuh Syariah dengan keadilan menjadi teras. Kita perlukan ‘re-branding’ yang relevan dan mengikut fiqhul Aullawiyat seperti yang disarankan oleh Dr Yusuf al-Qardhawi!