Dalam mana-mana sejarah agama dunia, unsur mistik dan keajaiban memang tidak dapat dinafikan. Setiap agama di dalam dunia miliki nilai dan unsur yang boleh dianggap sebagai kesaktian sebagai bukti kehebatan dan kebenaran agama tersebut. Secara umumnya, unsur mistik dan ajaib yang dimaksudkan ialah situasi, keadaan atau kebolehan luar biasa yang tidak mampu dimiliki oleh manusia normal dan tidak mungkin berlaku menurut logik pemikiran manusia. Namun kadang kala, keajaiban yang disangka ajaib itu hanyalah sebahagian daripada kedangkalan ilmu manusia yang masih belum mampu memahami logik alam ini. 

Agama Islam sebagai agama yang kedua terbesar di dunia juga pastinya memiliki kisah-kisah yang boleh dikaitkan dengan unsur mistik dan ajaib. Sesetengah hal itu sudah menjadi perkara yang mendasar dalam pegangan hidup beragama. Kisah-kisah yang sudah disepakati itu tidak menjadi masalah, namun kewujudan cerita-cerita moden baharu dan cuba disandarkan pada Islam dewasa ini menimbulkan satu polemik di dalam kehidupan Muslim. Cerita-cerita ini begitu cepat tersebar dan menjadi ‘viral’ di dalam laman sosial seperti facebook dan juga youtube. Kegopohan sebahagian umat Islam yang menyebarkan cerita-cerita ini tanpa berfikir panjang menyebabkan berlaku salah faham dan dalam banyak keadaan boleh mencemarkan imej agama Islam itu sendiri.

Antara cerita-cerita ajaib sensasi yang kerap berlegar di dalam dunia orang Islam ialah tentang kewujudan tanda atau lambang-lambang yang menunjukkan kalimah Allah atau Muhammad. Kita sering kali mendengar cerita tentang bagaimana nama Allah dan Muhammad terukir di awan, tumbuhan dan haiwan. Semua ‘keajaiban’ ini didakwa merupakan kebesaran kuasa Allah dan membuktikan kebenaran agama Islam. Namun, adakah benar kita mahu memahami agama dengan kisah-kisah keajaiban seperti ini? Adakah kita mahu mempromosikan agama rahmat ini kepada non-muslim dengan hal-hal seperti  ini? Memang tidak dinafikan, unsur sebegini mampu menarik perhatian masyarakat. Tetapi sebagai umat Islam yang berfikir panjang dan rasional, pastinya kita tidak akan menjadikan ini sebagai hujah utama apabila berdakwah kepada mereka. Sifirnya mudah, jika kita menganggap kemunculan kalimah yang mirip kepada nama Allah itu sebagai bukti kebenaran Islam, bagaimanakah pula kita mahu menjawab kepada masyarakat Islam dan bukan Islam jika ada pula tanda atau lambang yang muncul mirip kepada lambang salib? Hal ini tidak mustahil, seperti mana tidak mustahil berlaku kepada nama Allah dan juga Muhammad.

Seni silat amat sinonim dengan orang Melayu. Pelbagai jenis cabang silat telah wujud dan ia merupakan antara khazanah berharga yang dimiliki oleh orang Melayu. Disebabkan Melayu itu amat sinonim dengan Islam, maka setiap budaya Melayu yang ada ingin dikaitkan dengan agama Islam. Seni silat tidak terlepas dengan hal ini. Ada sebahagian seni silat Melayu yang mendakwa mampu memberikan seribu keajaiban seperti kekebalan dengan mendakwa menggunakan bacaan al-Quran dan kaedah Islam. Hal ini amat melucukan. Jika benar hal kebal ini wujud di dalam Islam, mengapakah Nabi Muhammad S.A.W sendiri tidak mempraktikkan ‘khazanah berharga’ ini semasa baginda berhadapan dengan masyarakat Arab jahiliah? Walhal sepanjang sejarah dakwah Nabi, baginda pernah cedera dan betapa ramai sahabat baginda syahid di medan perang. Duka cita sebahagian masyarakat Melayu terlalu taksub dan percaya dengan cerita-cerita mitos begini sehingga sanggup menyalah guna nama agama untuk menghalalkan tindakan yang jelas tidak ada kaitan dengan agama.

Air jampi merupakan salah satu bentuk perubatan yang ada di dalam Islam. Hal ini pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Namun air jampi kini sudah mengalami revolusi besar, penggunaannya sudah melebihi daripada kadar yang sepatutnya. Sudah menjadi satu kebiasaan masyarakat Melayu, jika anak mereka menghadapi peperiksaan besar, mereka akan membaca surah Yaasin pada air dan berharapan anak mereka akan cemerlang pada hari peperiksaan jika minum air tersebut. Tetapi, hasil yang berlaku sebaliknya. Anak-anak masyarakat Cina lebih ramai yang berjaya di dalam pelajaran walaupun mereka tidak minum sebarang air jampi. Untuk berjaya dalam pelajaran, kita memerlukan segenap usaha dan kerajinan, bukan hanya seminggu dua ulang kali dan selebihnya bergantung kepada keajaiban air jampi. Ada juga cerita-cerita mitos yang berlegar di kalangan masyarakat tentang air holy water yang mampu menjadikan seseorang itu murtad jika meminumnya kerana tidak akan mampu untuk mengucapkan dua kalimah syahadah selepas itu. Jika dakwaan ini benar, pastinya pendakwah-pendakwah Kristian akan memberikan begitu banyak air ajaib ini secara percuma di seluruh dunia dan menjadikan semua umat Islam murtad. Ini bukan dunia komik. Tidak ada air di dalam dunia yang mampu untuk mengubah keyakinan seseorang dalam beragama. Jika ada air yang mampu mengubah akidah seseorang, pastinya Nabi Muhammad S.A.W adalah orang yang pertama melakukannya dengan menjampi telaga zam-zam dan menjadikan seluruh masyarakat Arab jahiliah menganut agama Islam. Hal itu tidak berlaku dan tidak akan berlaku.

Cetusan ini bukan bermaksud mahu menafikan secara mutlak kewujudan kisah-kisah ‘ajaib’ di dalam Islam, tetapi lebih kepada mengajak pembaca menjadi penganut agama Islam yang rasional di dalam beragama. Islam bukanlah agama yang berdiri dengan kisah-kisah ajaib semata, jika ada pun ia hanyalah merupakan kisah sampingan dan bukan perkara utama. Islam berdiri dengan hujah dan fakta yang rasional. Jadilah Muslim yang menyebarkan agama Islam dengan rasa cinta yang betul, bukan dengan sangkaan sahaja. Bukan semua kisah agama yang kita dengar itu benar, tapislah ia dengan ilmu. Jika air minuman kita boleh memilih untuk yang bertapis sahaja, mengapa pula tidak dengan kisah agama?